Skip to content

Sekadar Pandangan Sampah Dari Aku “Blogger Wannabe”

March 5, 2009

FIKIRKANLAH WAHAI RAKYAT

 

Sekali lagi kecerdikan rakyat dipermainkan oleh parti pemerintah, mereka masih beranggapan yang rakyat masih hidup dalam kebodohan dan kegelapan, selama 52 tahun rakyat dipermainkan, direndah-rendahkan pemikirannya

            Maka tercetuslah suatu impak ‘Rakyat Kedepan’ berani menyatakan dan menidakkan apa yang tidak benar dimana selama ini yang tidak benar menjadi kebenaran bagi pihak pemerintah yang mahu terus berkuasa dalam penipuan. Lihat saja media massa pro pemerintah dan nilaikanlah betapa mereka begitu taksub dalam menyampai pembohongan kepada rakyat, apa beza mereka ini dengan pihak barat yang sentiasa menggambarkan Islam itu ganas padahal mereka menyimpan dan menjaga Israel yang lebih ganas. Sedih untuk menyatakan tapi itulah yang sedang berlaku di negara kita ketika ini.

            Apa yang sedang berlaku di negeri Perak adalah kesinambungan legasi penerusan pembohongan pihak BN dimana mereka telah berjaya membuktikan yang mereka ini tamak dan rakus dengan KUASA.  Mana mungkin mereka sanggup melepaskan kuasa selama 52 tahun di negara ini, sudah terbiasa merampok hasil kekayaan rakyat, bukan sedikit nilainya. Sukar untuk mencari pemimpin yang ikhlas untuk menjaga rakyat tidak kira BN atau PR. PR harus membuktikan yang mereka lain dari BN, tapi apa yang berlaku sekarang ini PR terutama parti PKR mempunyai sebilangan tokoh pemimpin yang rapuh senang digugat, bagaimana hendak membela kalau goyang bila diancam oleh musuh.

 

            Soal derhaka pada Raja/Sultan, mereka sama saja, itu kenyataannya dan penderhakaan ini dimulai oleh BN ( UMNO ) merekalah yang menjadi tauladan kepada penderhaka-penderhaka yang lain. Sebagai bukti sila rujuk kenyataan dibawah ini yang disampaikan oleh lagenda dan hero UMNO

Penyampai

:

DATO’ SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD

Tajuk

:

SEMASA MEMBENTANGKAN RANG UNDANG-UNDANG AKTA PERLEMBAGAAN (PINDAAN) 1993

Lokasi

:

DEWAN RAKYAT, KUALA LUMPUR

Tarikh

:

18-01-1993

 

Tuan Yang di-Pertua, Saya mohon mencadangkan iaitu Rang Undang-Undang bernama Suatu Akta untuk meminda Perlembagaan dibacakan kali yang kedua sekarang.Tuan Yang di-Pertua, Izinkan saya memperkenal dan mengulas Akta yang telah saya sebutkan tadi.

2. Ketika negara menuntut kemerdekaan, pemimpin-pemimpin negara yang telah mendapat kemenangan besar dan sokongan padu dalam Pilihanraya Umum tahun 1955 telah membuat pilihan supaya sistem pemerintahan di negara ini ialah sistem Demokrasi Berparlimen atau `Parliamentary Democracy` dan Raja Berperlembagaan atau `Constitutional Monarchy`.

3. Sistem ini dipilih kerana semasa negeri-negeri Melayu diperintah melalui sistem feudal dengan kuasa di tangan Raja, negeri-negeri Melayu adalah begitu lemah dan pentadbirannya berada dalam keadaan kucar-kacir. Negeri- negeri ini tidak dapat menentukan keamanan dan menguatkuasakan undang-undang. Akibatnya negeri-negeri ini terpaksa meletakkan diri di bawah naungan kuasa-kuasa asing seperti Cina, Siam dan Barat. Akhirnya semua negeri Melayu ditakluki oleh British dan diperintah sebagai tanah jajahan British melalui perjanjian di antara Raja-Raja yang memerintah dengan pihak Kerajaan British.

4. Selepas Perang Dunia Kedua, Raja-Raja Melayu berharap apabila British mentadbir semula kedudukan mereka sebagai Raja yang berada di bawah nasihat pegawai-pegawai British akan dikembalikan. Negeri-negeri Melayu akan sekali lagi diperintah oleh British walaupun tidak seperti Singapura, Pulau Pinang dan Melaka, di mana British berkuasa penuh.

5. Bagi majoriti rakyat Melayu negeri-negeri Semenanjung, mereka juga bersedia menerima pemerintahan di mana keMelayuan negeri-negeri Melayu diakui oleh British, walaupun pentadbiran dikuasai hampir sepenuhnya oleh British. Namun ada pendapat di kalangan sebilangan orang Melayu bahawa negeri-negeri Melayu sepatutnya dibebaskan daripada pemerintahan kolonial British sama sekali.

6. Orang Melayu hanya sedar akan kemungkinan mereka diketepikan dan menjadi pengemis di negeri mereka sendiri apabila Raja-Raja Melayu tunduk kepada ugutan MacMichael dan menandatangani perjanjian baru dengan British yang menyerahkan negeri-negeri Melayu terus kepada British untuk diperintah sebagai tanah jajahan takluk British sama seperti Singapura, Pulau Pinang dan Melaka.

7. Oleh kerana begitu mudah Raja-Raja menyerahkan Singapura, Pulau Pinang dan Pangkor kepada penjajah dan kemudiannya menyerah pula negeri-negeri Melayu, maka rakyat tidak lagi boleh menerima sistem yang memberi kuasa hanya kepada Raja dan rakyat tidak diberi peranan apa-apa dalam politik negara. Lagi pun selepas Perang Dunia Kedua, Sistem Raja berkuasa penuh sudah menjadi lapok di seluruh dunia. Di merata-rata tempat Sistem Beraja ditamatkan terus. Di mana ia dikekalkan, kuasa Raja dihadkan oleh Perlembagaan atau undang-undang asas negara. Justeru itu, semasa Persekutuan Tanah Melayu menuntut kemerdekaan, pemimpin- pemimpin rakyat telah mengkaji sistem-sistem pemerintahan dengan mengambilkira sejarah negeri-negeri Melayu dan sistem-sistem pemerintahan lain.

Tuan Yang di-Pertua,

8. Sistem pemerintahan lama negeri-negeri Melayu adalah sistem feudal di mana Raja berkuasa penuh tanpa Perlembagaan yang ditulis. Sistem feudal ini ditentukan oleh adat yang sering dimanipulasikan dengan sewenang-wenangnya oleh pihak berkuasa. Jika pihak yang berkuasa melampaui adat, pegawai- pegawai istana atau rakyat sukar untuk menegur dan membuat sebarang dakwaan. Tetapi apabila keadaan menjadi terlalu buruk, kemungkinannya ialah adat diketepikan dan pemberontakan berlaku. Tetapi cara ini tetap membawa kesan yang buruk tanpa menjamin bahawa pemberontakan akan memperbaiki keadaan.

9. Oleh itu lahirlah pendapat bahawa Raja perlu diletak di bawah suatu Perlembagaan yang menentukan kedudukan dan peranan Raja. Dengan cara ini Raja tidak lagi boleh bertindak dengan sewenang-wenangnya. Kuasa Raja akan ditentukan oleh Perlembagaan, iaitu undang-undang asas negara. Namun ada Raja yang sanggup menyerahkan negeri sendiri kepada kuasa asing tanpa menghiraukan Perlembagaan.

10. Namun semasa sistem Raja Berperlembagaan digubal untuk Persekutuan Tanah Melayu, yang ketika itu menuju kemerdekaan, penggubal-penggubal perlembagaan masih percaya Raja-Raja akan patuh bukan sahaja kepada yang tersurat tetapi juga yang tersirat di dalamnya — iaitu semangat yang terdapat dalam Perlembagaan.

 

Umno: Dulu menderhaka kini taat setia  ( Dari Malaysiakini )

Ahmad Tajdid

Tue | Feb 10, 09 | 10:38:44 am MYT 

Malaysiakini melaporkan hampir seribu orang ahli pemuda Umno dan pertubuhan bukan kerajaan berkumpul di Padang Majlis Bandaraya Ipoh di Jalan Sultan Abdul Jalil dalam apa yang didakwa sebagai perhimpunan menyokong Sultan Perak.    

Utusan Malaysia yang dimiliki Umno dan Bernama yang diterajui Dato’ Seri Anuar Zaini (yang diketahui peranannya dalam pergolakan politik Perak) mendakwa perhimpunan itu dihadiri lebih 5,000 rakyat pelbagai kaum.

‘Perhimpunan haram’ yang berlangsung selama satu setengah jam itu tidak diganggu polis. Malah demonstrasi jalanan itu diadakan hanya beberapa hari selepas beberapa pemimpin Umno mendakwa BN tidak akan menggunakan kaedah ‘demonstrasi jalanan’ bagi menyelesaikan krisis politik yang berlaku di Perak.

Seperti biasa, orang yang menjadi hero kepada bantahan anjuran gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pro-Umno negeri ini bersama BN Perak ialah Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin. Khairy disertai Ketua Pemuda Umno Perak, Zainol Padzi Paharuddin dan Ketua Pemuda MIC, G. Shamugavelu.

Pemimpin Umno dan BN yang berucap pada ‘perhimpunan haram’ itu mendesak supaya tindakan diambil terhadap Pengerusi DAP Karpal Singh yang dilaporkan menyatakan hasratnya menyaman Sultan Azlan Shah.

Mereka turut mendesak bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin supaya menghentikan segala tindak-tanduk ‘menderhakai’ titah Sultan Perak.

Drama itu disudahi kemuncak dengan gimik kesediaan berarak ke kediaman rasmi MB Perak bagi ‘menghalau’ Mohammad Nizar dari situ.

Malah Khairy seperti kebiasaan beretorik kononnya pemuda Umno akan menghalang percubaan Nizar dan anggota exconya untuk ke pejabat mereka di Bangunan SUK Perak.

Khairy juga berikrar untuk kononnya mempertahankan institusi beraja hingga ‘ketitisan darah yang terakhir’.

Begitulah hebatnya Khairy dan Pemuda Umno beretorik. Seperti merekalah orang yang paling layak mempertahankan Raja-raja Melayu.

Cuma kita ingin bertanya, jika keengganan Nizar untuk melepaskan jawatannya sebagai MB dianggap ‘menderhaka’ kepada sultan, bagaimana pula dengan keengganan pemimpin Umno Perlis dan Terengganu, Dato’ Seri Shahidan Kassim dan Dato’ Seri Idris Jusoh mentaati perintah Raja dan Sultan, 10 bulan lalu?

Pastinya kita masih belum lupa bagaimana Shahidan dan Idris dengan sokongan Umno Pusat khususnya Presiden Umno, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi membantah calon MB istana.

Malah perhimpunan membantah keputusan istana diadakan di dua negeri terbabit selama beberapa hari. Di Terengganu, satu sepanduk yang dibawa penyokong Idris yang juga Ketua Perhubungan Umno negeri menyifatkan istana sebagai ‘natang’ (binatang).

Selantang-lantang Karpal Singh tidak sampai ke peringkat menyamakan istana dengan haiwan.

Mengapakah pada waktu itu tiada istilah ‘derhaka’ terkeluar daripada mulut pemuda Umno, apatah lagi yang menyokong tindakan derhaka itu tidak lain tidak bukan ialah Presiden Umno yang juga bapa mentua Khairy!

Sejarah negara juga memperlihatkan bagaimana institusi istana pernah dipijak dan dihina Umno. Lihat sajalah krisis Perlembagaan yang berlaku pada 1983 apabila perhimpunan-perhimpunan besar dianjurkan Umno untuk berhadapan pihak istana.

Bagaimana pula dengan episod pindaan Perlembagaan bagi menghapuskan imuniti Raja-raja Melayu pada awal dekad 90-an. Bukankah Utusan Malaysia, akhbar yang dimiliki Umno telah menerajui kempen menghina Raja-raja Melayu pada waktu itu?

Setelah sepuluh bulan episod penderhakaan berlaku di Perlis dan Terengganu, tiada sebarang tindakan diambil oleh Umno untuk menghukum sipenderhaka. Shahidan terus kekal sebagai Ketua Perhubungan Umno negeri walaupun terlepas jawatan Menteri Besar.

Idris Jusoh diberi habuan sebagai Pengerusi MARA manakala sebahagian Adun Umno Terengganu yang bersama Adun Ajil, Rosol Wahid membantah calon MB pilihan istana, kini menjawat Exco Kerajaan Negeri.

Jelaslah bahawa Umno sebenarnya ‘parti munafik’ yang memperalatkan istana. Ketika kedudukan Umno dan BN kukuh, istana diinjak-injak golongan penderhaka ini. Apabila pengaruh Umno mula pudar dan orang Melayu mula meninggalkan parti yang dipenuhi kurap rasuah dan penyelewengan itu, Umno cuba berselindung di sebalik pagar istana dan berpura-pura menjadi pembela institusi Raja.

Jika para pemimpin Umno menganggap hasrat Pengerusi DAP, Karpal Singh untuk menyaman Sultan Perak sebagai ‘menderhaka’, apakah gelaran paling layak diberi kepada Umno yang bertanggung jawab menghapuskan imuniti Raja-raja dan membolehkan mereka disaman di mahkamah terbuka?

 

            Jadi, apa pendapat anda sebagai rakyat tentang laporan ini, pertikaian ini bukan hanya berlaku diantara BN dan PR sahaja malah dikalangan mereka (BN)  juga ada yang membangkang, Perak adalah mangsa ketaksuban KUASA BN yang mula diterajui oleh Najib yang begitu terdesak ingin menaikkan namanya bagi persediaan untuk menjadi pemimpin nombor satu negara ini, sebagai usaha yang begitu desperado untuk menarik kepercayaan pengikutnya sehingga sanggup melakukan rompakan terbesar diabad ini. UMNO mahu menjadi hero semula bersungguh ingin mempertahankan institusi raja sehingga ke titisan darah yang terakhir, semua ini sekadar lakonan semata bagi mengabui mata rakyat, tapi sayang masih ada lagi rakyat yang mahu mempercayainya. ‘Malay Power’ semangat yang mahu dinaikkan dan diperjuangkan semula demi untuk menjaga penguasaan mereka terhadap negara ini. Semangat assabiyah ini mula ditanam dan desemai dikalangan Melayu sehingga kita merasa begitu curiga dengan bangsa lain dan bila ini berlaku bangsa Melayu akan berasa tidak selamat dan satu-satunya parti yang kelihatan seperti boleh menjaga mereka adalah lain tak bukan UMNO. Inilah formula yang dipergunakan oleh UMNO untuk terus berkuasa sehingga kini. Apabila mereka begitu lama berkuasa jadi pasti ada yang tidak kena akan berlaku, gila kuasa dan duit telah menjadi barah, mereka seolah-olah mahu menjadikan rakyat Malaysia hamba mereka, mereka kaut keuntungan tanpa memperdulikan rakyat dan apabila mereka mula rasa tersepit rakyat juga yang dipanggilnya untuk membela mereka, berjuang untuk meraka. Jikalau anda mahu terus-menerus dipergunakan, nah silakan tapi bukan saya. Saya bukan ahli PKR dan saya juga bukan ahli PAS malahan jauh sama sekali ahli DAP. Saya adalah anak Malaysia yang mahu melihat Malaysia terus maju tanpa ada golongan-golongan seperi ini. Saya juga dikenali sebagai kelompok pengundi atas pagar yang melihat dari jauh gelagat ahli-ahli politik yang baik dan sebaliknya, kami menilai serta memerhatikan mereka, bila sampai waktunya kami yang akan menentukan siapa yang layak untuk memimpin kami, tidak menjadi kaharusan PR sahaja yang layak, mungkin kami akan kembali memberi sokongan kepada BN sekiranya mereka mahu berubah.

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: